Tuesday, March 25, 2008

Pengenalan

Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah melahirkan satu masyarakat baru yang berinteraksi dan berkomunikasi dalam persekitaran siber. Fenomena ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan yang menggunakan ICT dalam aktiviti seharian mereka. Secara asasnya, masyarakat yang menggunakan teknologi semasa seharusnya dapat memiliki kerakyatan ‘minda kelas pertama’ yang merupakan teras kunci kepada Rancangan Malaysia Ke-9. Maka, kerajaan Malaysia telah memulakan satu usaha dengan pelbagai langkah untuk memastikan ICT memainkan peranan penting di dalam masyarakat. Pelaburan yang banyak telah dilakukan untuk mewujudkan infrastruktur bertaraf dunia seperti peningkatan dramatik pada penebusan kadar telefon kebangsaan – sebagai pengukur kepada kesediaan ICT Negara. Mohammad Khir Toyo (2006) seterusnya mencadangkan keperluan asas untuk mendapatkan ‘minda kelas pertama’ adalah dengan mempunyai budaya pemikiran yang kritikal, konstruktif dan kreatif dikalangan rakyat Malaysia.

Menurut Rheingold (2000), kewujudan komuniti maya adalah ekoran dari tindakbalas keinginan komuniti yang telah mengikut kehancuran komuniti tradisional seluruh dunia. Berdasarkan pembangunan ICT dan kemudahan ICT yang telah disediakan, membolehkan pengguna untuk berkomunikasi melalui siber dan membentuk kumpulan komuniti masing-masing. Putnam (2000) seterusnya mencadangkan satu bentuk komunikasi baru yang akan menggantikan bentuk komunikasi lama kerana individu yang mempunyai bilangan masa yang singkat. e-Komuniti merupakan kumpulan pengguna yang berkongsi minat yang sama dan berhubung menerusi internet dan melihat diri mereka sebagai kumpulan yang tetap (Rheingold, 2000). Dutta-Bergman (2005) di dalam penyelidikan beliau telah menemui bahawa individu yang mempunyai pendidikan dan pendapatan yang lebih tinggi turut mempunyai capaian internet yang lebih baik berbanding mereka yang mempunyai pendidikan dan pendapatan yang lebih rendah. Beliau turut menghujahkan bahawa capaian internet merupakan alatan berkuasa di dalam menghasilkan komuniti yang positif. Capaian ke internet memberi kuasa kepada pengguna dengan menghubungkan mereka kepada maklumat dan juga membantu mereka berhubung dengan komuniti dan masyarakat. Jadi, dengan peningkatan bilangan pengguna yang menyertai portal e-Komuniti membawa satu persoalan kepada ahli e-komuniti sediada dalam rangka pemupukan minda kelas pertama.

Monday, March 24, 2008

Bengkel Minda Kelas Pertama


Kumpulan penyelidik SciFund FBMK akan mengadakan Bengkel Pembentukan Masyarakat Kelas Pertama pada hari Khamis 27 Mac 2008 di FBMK dari jam 8:30 pagi hingga 5:00 ptg.

Objektif bengkel ini adalah
1. untuk mendapatkan pengertian terhadap konsep 'minda kelas pertama' daripada beberapa perspektif seperti perspektif perkhidmatan awam, belia, agama dan masyarakat,

2. untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam proses menterjemahkan konsep 'minda kelas pertama' ke dalam aktiviti pembangunan masyarakat di Malaysia, dan

3. membina dan menjalinkan jaringan hubungan dengan pihak yang terlibat dalam proses pembangunan 'minda kelas pertama.'

Kami mempelawa penyertaan tuan/puan dalam bengkel ini dan tempat adalah terhad. Untuk penyertaan atau keterangan lanjut sila hubungi Dr. Jusang Bolong (03 8946 8780, 012 656 6664) atau Prof. Dr Musa Abu Hassan (03 8946 7677, 012 289 3114) secepat mungkin.